Wednesday, September 15, 2010

Cerpen: Mimpi rekayasa Melayu


(i) INTRO mimpi
Aduh, sukarnya jika harus memaksa mimpi. Tambahan pula jika mimpi ini mimpi ngeri. Malah menyeramkan. Sesiapapun akan menyanggah jika mimpi yang kupaksa ini kuceritakan.

Mimpi hanya mainan tidur. Aku tahu akan ungkapan klise itu. Akan tetapi mimpi ini memang kupaksa. Telah lama ini aku ingin bermimpi seperti ini. Dan akhirnya mimpi yang kupaksa ini terjadi juga. Mimpi ini menyiksakan. Terlalu menyiksakan jiwaku. Terlalu memaksa jiwa Melayuku.

Aduh! Aku tidak mahu mimpi begini sebenarnya. Terlalu berat. Bagaimanakah akan kuceritakan mimpiku nanti. Tapi, aku tidak mampu. Pagar mimpiku ampuh. Tidurku terlalu nyedar untuk bangun. Dingin dan selesa amat. Aku tidur dalam damai dan nyaman. Dan mimpiku berlangsung terus. Terus dan terus.

(ii) Latar mimpi
Latar mimpi ini tidak jauh dan tidak dekat. Sekitarku dan sekitar siapa-siapa. Sekitar orang Melayu. Sekitar aku kerana aku dan Melayu itu bersinonim. Dan silogismenya begini;

Aku bermimpi

Aku Melayu

Melayu bermimpi!

Aduhh..! Latar masa mimpiku panjang amat. Sejak zaman prasejarah, zaman kegemilangan Melayu, zaman Islam, zaman penjajahan, zaman ini, dan zaman akan datang. Melayu tidak hilang di dunia, kata Laksamana Hang Tuah. Kata orang ungkapan itu bukan kata Hang Tuah. Akan tetapi kata pengarang Hikayat Hang Tuah. Selama manapun, Melayu tetap ada, tetap wujud. Akan tetapi kewujudan itu tidak pasti. Benarkah? Atau mimpi sahaja yang berkata begitu?

Ruang lingkup mimpiku amat luas. Seluruh kepulauan Melayu dan seluruh ketamadunan Melayu. Seluruh orang Melayu, seluruh jiwa Melayu. Meliputi tanah semenanjung, kepulauan Indonesia, Mindanao, Madagascar, Sri Lanka, malah semua bumi yang pernah dikenali sebagai bumi Melayu. Sementelah orang Melayu telah memenuhi dunia Melayu ini. Semenjak 2500 sebelum masihi, telah datang orang Melayu. Kemudian datang satu gerombolan lagi, juga orang Melayu, membentuk bangsa Melayu, Banjar, Minangkabau, dan macam-macam lagi. Semuanya Melayu. Malah ada orang yang mendakwa bahawa Melayu juga pendatang seperti mereka. Jadi apa istimewanya Melayu? Melayu juga pendatang ke tanah bertuah ini, cuma Melayu datang jauh lebih awal.

Perjalanan mimpi di semua latar tempat dan masa amat pantas. Sekelip fikir. Semakin lama aku semakin pantas, meneroka setiap latar, merasai perbezaan, membuat perbandingan, menilai kewajaran, menolak dakwaan, menangkis tohmahan, menelan kebenaran, dan macam-macam lagi. Sehingga aku menjadi penat. Aduh, bangunkan aku segara dari mimpi ini. Aku penat. Aku tidak mahu bermimpi terus! Tapi mimpi ini berlarutan, berjela-jela!

(iii) Watak mimpi
Watak mimpiku satu tetapi banyak. Yang kukenal pasti ialah watak Melayu. Satu dan banyak. Satu tapi banyak. Banyak tapi satu. Banyak dan kurang. Satu dan kurang. Kurang daripada satu. Maknanya watak Melayu semakin kurang Melayunya. Jika kekurangan ini berterusan watak Melayu akan terus kurang. Kurang Melayu atau Melayu kurang. Aku cuma kaget dalam mimpi ini, apabila Melayu menjadi kurang dan kurang dan tiada lagi. Tiada!! Melayu tiada, Melayu hilang. Lupus. Jati diri Melayu lupus. Minda Melayu lupus. Bahasa Melayu lupus. Tanah Melayu...??! Aduh, jika benar semua yang Melayu miliki itu akan hilang, ke manakah arah Melayu, ke manakah arah aku kerana aku Melayu. Ya aku Melayu.

Watak-watak mimpi juga bersilih ganti. Akan tetapi semuanya watak Melayu. Adakala ada watak asing, bukan berkulit sawo matang tetapi cerah dan gelap. Gelap dan cerah. Semuanya bercampur-baur mewarna mimpi Melayuku. Yang cerah dengan mimpi cerahnya. Yang gelap dengan mimpi gelapnya. Tapi ini tetap mimpiku, mimpi Melayu.

(iv) Tema mimpi
Tema mimpiku tetap sama. Sejak dulu, kini, dan selama-lamanya. Tema Melayu. Akan tetapi aku takut untuk menghebahkan tema Melayu ini. Aku ingin mengubah Melayu. Aku ingin mengubah istilah Melayu! Aduh, aku sudah menceritakan. Maafkan aku kerana mimpi tidak tertakluk kepada akta, kepada undang-undang tubuh, kepada perlembagaan. Mimpiku memang bertemakan Melayu. Asal-usulnya Melayu itu berbagai-bagai teori yang ada. Katanya sempena Sungai Melayu di Jambi, yang airnya berlari deras dan selari pula dengan kata melayu dalam bahasa Jawa. Makna Melayu itu adalah berlari. Akan tetapi aku tidak pernah lari. Aku tetap di bumi Melayu ini. Tanah Melayu. Pantang sekali Melayu lari, walaupun jiwa mereka sudah mula lari.

“Mana Tanah Melayu?”

“Tanah Melayu telah tiada. Namanya sudah ditukar!”

“Kenapa ditukar nama Tanah Melayu itu?”

“Tanah Melayu sudah merdeka. Kemerdekaan menjadikan semuanya bebas. Tukarlah apa-apa sahaja, kerana kita semua merdeka…!! Kita semua sudah bebas! Orang merdeka dan bebas tidak memerlukan nama Melayu lagi. Sudah lebih setengah abad nama Tanah Melayu ditukar. Mana ada tanah Melayu lagi?”

Wah! Mimpiku kembali meladeni sejarah. Mengikut sejarah Tanah Melayu yang menerima kemasukan sesiapa sahaja kerana kemewahan Tanah Melayu. Datanglah! Datanglah ke Tanah Melayu. Kami orang Melayu tidak pernah ambil kisah. Datanglahh!!

Aku menangis dalam mimpi ini kerana Tanah Melayu tiada lagi. Tanah untuk orang Melayu tiada lagi. Kami bukan orang Tanah Melayu lagi. Kami sudah jadi orang Malaya! Sedap juga nama negara baharu kami. Malaya!! Ya, Malaya! Malaya pasti merdeka seperti kata Pak Afrini Adham. Merdeka!!!

Dan akhirnya Malaya memang merdeka. Tanah Melayu sudah tiada. Melayu semakin tiada. Semangatnya tiada. Kalau nama Tanah Melayu kekal, semangat Melayu sudah tentu berkobar-kobar. Orang Melayu pasti lebih sayang akan tanah mereka. Mereka tentu tidak akan menjualnya untuk mendapatkan wang, beras, pangkat, kedudukan, dan politik. Orang Melayu sudah pandai main politik, sebab itu negeri kita menjadi Malaya. Penjajahan mindakah itu? Bukan!! Inilah kemerdekaan.. Kita telah merdeka.

Akhirnya Malaya merdeka! Wahhh, seronok hidup dalam kancah kemerdekaan. Bebas! Bebas sampai ke bulu-bulunya, seperti kata sasterawan negara. Dan merdeka menjadikan Melayu terus berlari seperti arus Sungai Jambi. Ke mana arah?

Malaya sudah tidak enak lagi. Mari kita tukar nama Malaya! Mari kita tukar. Wah mimpi ini semakin menerawang jauh dan jauh. Maka suatu ketika dalam mimpi itu Malaya ditukarkan pula. Malaysia! Yehhhh..., kita ada nama baharu. Akan tetapi apakah makna Malaysia kepada orang Melayu. Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang atas angin? Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang bawah angin? Malay si a! Malay si a! Bagus! Bagus! Bagus! Semuanya bagus!

Waduh, jauh sudah destinasi mimpiku. Bermula dengan kedatangan Melayu Proto, Melayu Deutro, dan Melayu moden yang sudah hilang Melayunya. Kini aku orang Malaysia. 1 Malaysia, semuanya Malaysia. Bahasaku bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa untuk semua. Walaupun tidak semua yang tahu bercakap dalam bahasa Malaysia. Masuk kandang mahkamah kena ada jurubahasa. Tulisan jawi sudah tidak ada. Yang ada tulis berjuring tajam tercacak-cacak, berpuntal-puntal. Bukan tulisan Rencong atau huruf Ka Ga Nga warisan persuratan Melayu dahulu. Asing tetapi menguasai. Wah.. semakin gawat mimpiku ini. Gawat mimpi Melayuku ini!

“Mana bahasa Melayu?”

“Bahasa Melayu telah mati…!”

“Mana tahu mati?”

“Kerandanya telah diusung sekian lama?”

“Di mana pusaranya?”

“Di mana-mana sahaja!”

“Kamu melampau. Sekarang orang sedang mengutamakan bahasa Melayu di sekolah!"

“Tapi pemimpin kita lebih senang cakap orang putih. Artis kita sangat fasih bercakap orang putih. Mereka Melayu tetapi cakap orang putih dalam majlis Melayu. Melayu sudah putih. Atau Melayu sudah putih mata.”

Mimpiku sudah mula melalut. Bahasa mana boleh mati! Verba volen scripta manent. Maknanya bahasa pertuturan akan terbang, bahasa tulisan akan kekal. Maksudnya bahasa Melayu yang tercatat pada naskhah lama akan kekal. Masalahnya naskhah lama Melayu juga sudah hilang, dibawa orang berkulit putih dan berkulit merah dalam era penjelajahan dan penjajahan. Semuanya dibawa pergi. Yang tinggal hanya bahasa pertuturan yang akan terbang. Verba volen scripta manent.

(v) Kemuncak Mimpi
Dalam binaan plot mesti ada kemuncak mimpi. Mimpiku sudah sampai ke kemuncaknya. Bukan kemuncak mimpi berahi. Kemuncak mimpi tentang jati diri, tentang bangsa sendiri.

“Aku mahu merekayasa bangsaku! Melayu perlu direkayasa! Melayu mesti direkayasa!”

“Engkau bermimpi…?”

“Ya, aku bermimpi ingin merekayasa bangsaku!”

“Bangsa tidak boleh direkayasa! Hanya orang politik yang boleh mengubah bangsa. Mereka telah mengubah bangsa kita dengan banyaknya. Mereka telah mengubah negeri kita dengan besarnya. Nama negeri kita berubah-ubah. Nama bahasa kita berubah-ubah. Dan mereka akan terus merubah. Kita hanya melopong menelan perubahan itu. Dan jauh sekali kita akan menentang. Kita orang baik. Pantang orang Melayu menderhaka. Pantang sampai dipijak kepala.

“Aku akan mengubah nama bangsaku!”

“Kerja gila!”

“Dalam mimpi tidak ada yang waras, tidak ada yang gila!”

“Ikut suka engkaulah! Selepas terjaga nanti, mimpi kau akan hilang juga.”

“Kadang-kadang mimpi akan menjadi kenyataan.”

“Kau melalut...!”

Mimpi semakin pekat dan hitam. Awan bergumpal memenuhi langit bumi Melayu ini. Tiba-tiba hujan turun. Lebat dan menghanyutkan kelodak di muka bumi Melayu ini.

Ketika aku menggigil kesejukan dalam mimpi itu, aku disapa oleh seseorang. Riak wajahnya dia seorang berbangsa sepertiku. Bercakap sebahasa denganku. Barangkali dia itu aku. Dia Melayu. Aku Melayu. Dia ialah aku.

“Siapa Tuan yang muncul selepas hujan?”

“Asal-usulku sama seperti kamu! Akan tetapi aku sudah bertukar nama bangsaku,” jawab orang itu jelas. Adakah dia itu aku?

“Tuan pastinya orang Melayu sepertiku! Tuan berbahasa Melayu,”

“Tidak! Aku mahu mengubah Melayuku..!!”

“Kalau tidak Melayu, kamu jadi apa?” tanyaku kepadanya, kepadaku.

“Apa-apa sahaja yang tidak melayu!”

“Melalut?!” Diam.

“Melatah?!” Diam.

“Melarat?!” Diam.

“Mela… yang?!” Diam.

“Mela… cur?!” Jegil tapi terus diam. Tetap diam kerana Melayu sekarang semakin pendiam.

Barangkali dia marah kerana cadanganku untuk menggantikan melayunya itu secara negatif, yang kotor-kotor. Buruk sekali fikiranku terhadap bangsanya. Bangsaku juga!

“Maafkan saya, Tuan..!” Masih takut aku. Masih terasa bersalah aku.

“Aku tidak mahu bangsaku dikaitkan dengan perkara yang buruk-buruk,” tegas orang itu dengan suara yang menggetarkan latar mimpiku. Aku terdiam, menyesali keceluparan. Ahhh… jika aku berbangsa Melayu begitu buruk tanggapan terhadap bangsaku, apatah lagi bangsa lain. Akan tetapi bahasa Melayu telah ditukar namanya. Adakah itu tidak bersalah? Sedangkan dalam perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Ahhh….

Perlembagaan itu ciptaan manusia. Sedangkan kalam Tuhan juga sudah banyak yang mentafsirkan sesuka hati.

“Apakah nama yang Tuan cadangkan untuk menggantikan nama Melayu?” Tanyaku semakin berani. Aku memang berani sebab aku bermimpi. Dunia mimpi tidak ada gangguan, tidak ada undang-undang, tidak ada perlembagaan. Tidak ada mahkamah dalam mimpi. Tidak! Perlu apa aku berasa takut? Sedangkan di alam realiti orang sudah mula melanggar undang-undang, mempermainkan perlembagaan, dan mengeksploitasi agama. Semuanya untuk kepentingan sendiri. Aku hanya melakukannya dalam mimpi. Aku pasti. Aku hanya bermimpi.

“Menyegarrrr….!!!” Jawabnya pantas lagi yakin. Lancar sekali sebutannya.

“Menyegarrr…??!!” Kaget amat aku.

“Setiap kali kita menyebut nama bangsa, kita seperti mendoakan bangsa kita. Jika kita terus mendoakan bangsa supaya layu, maka akan layulah bangsa kita,” hujahnya. Dan aku tidak berkata apa-apa. Itu pandangannya, yang dilontarkan dalam mimpiku.

“Jadi, bangsa kita akan segar jika kita sebut Menyegar?!” tanyaku kelinglongan. Gawat. Nama bangsaku sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bangsa Melayu. Mana boleh ditukar-tukar. Jika ditukar, barangkali ada pihak yang akan menyaman RM100 juta orang yang berdiri di depanku ini. Dia itu sama denganku. Barangkali dia itu aku. Saman menyaman sekarang sudah menjadi budaya Melayu, terutama politikus-politikus Melayu.

“Apa bangsa kamu?” tiba-tiba orang itu bertanya.

“Mela… err, Menyegar…!!” jawabku terketar-ketar. Lantas orang itu ketawa berdekah-dekah. Mimpi yang kupaksa itu berkecai, menjadi puing-puing, dan hilang. Aku terbangun. Aku melompat untuk melihat wajah pada cermin. Aku melihat warna kulitku. Aku melihat mataku, melihat rambutku. Ternyata aku masih Melayu walaupun tidak ada nama bangsa dicatatkan pada wajahku. Aku berbahasa Melayu. Aku tetap Melayu. Aku menarik nafas lega kerana aku masih Melayu, yang sebenarnya Melayu.

(vi) Denouemen mimpi
Di luar, malam masih gelap, masih jauh dari sinar fajar yang pasti akan menyerlah jua. Aku ingin tidur kembali. Aku ingin memaksa mimpi datang lagi. Sekali lagi mimpi rekayasa Melayu, dalam versi yang lain pula, barangkali versi politik orang Melayu; kerana akhir-akhir ini politik Melayu penuh dengan igauan mimpi ngeri.

...Ghazali Lateh

No comments:

Post a Comment