Wednesday, June 2, 2010

Desak AS jangan sokong Israel


KUALA LUMPUR 1 Jun - Seluruh dunia harus mendesak Amerika Syarikat (AS) supaya tidak menjadikan alasan kedudukannya sebagai sekutu rapat Israel untuk menyokong perbuatan ganas rejim itu yang menyerang kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pendirian negara kuasa besar itu untuk tidak menyokong tindakan ganas Israel adalah satu-satunya cara bagi memastikan rejim berkenaan tidak meneruskan perbuatan jenayah terbabit.
''Saya fikir AS sepatutnya hanya menyokong Israel jika ia melakukan sesuatu yang betul dan bukan memberi sokongan ketika rejim ini melakukan jenayah semata-mata kerana ia negara sekutu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan mengenai program meja bulat dan dialog awam anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan The New Club of Paris pada pertengahan bulan ini di sini hari ini.
Sebanyak 11 warga Malaysia, termasuk seorang wartawan dan jurukamera Astro Awani dilaporkan berada dalam kapal Turki, Mavi Marmara, yang diserang tentera Israel di perairan Gaza pagi semalam.
Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tindakan negara-negara lain yang mengutuk kekejaman Israel sejak kejadian itu berlaku tidak akan memberikan sebarang kesan kerana rejim berkenaan mengambil sikap tidak kisah.
''Saya difahamkan usul mengenai halangan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza telah pun dibawa oleh Turki untuk perhatian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan setakat ia saya tidak tahu apa keputusannya," kata beliau.
Ditanya adakah Perdana Menteri lambat memberikan reaksi mengenai kejadian itu, Dr. Mahathir berkata:
''Beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak mengambil masa yang lama dan ini terbukti apabila beliau mengutuk kejadian ini malam tadi. Saya sendiri mendapat berita kejadian berkenaan pada sebelah petang semalam, bagi saya ini tidaklah terlalu lama.
''Saya tidak cuba mempertahankan Najib, tapi saya rasa beliau ingin mengetahui perkara ini secara rasmi."
Ditanya perkembangan terkini pelayaran kapal penumpang Rachel Corrie dan dua kapal kargo Challenger 1 dan Challenger, Dr. Mahathir berkata, ketiga-tiganya dijangka tiba berhampiran perairan Gaza dalam tempoh 48 jam dari sekarang.
''Terdapat enam rakyat Malaysia dalam kapal penumpang dan lain- lain ialah dari Ireland, AS dan pelbagai negara lain," jelasnya.

...utusan malaysia

No comments:

Post a Comment